728x90 AdSpace

  • Latest News

    Powered by Blogger.

    Combine Post

    Comment

    Friday 21 February 2014

    Ekslusif Kisah Perang Syria - Sinar Harian



    “KAMI hanya beli tiket untuk pergi, manakala untuk pulang dengan selamat ke tanah air kami berserah kepada takdir Ilahi. Kami sematkan dalam hati, jika panjang usia kembalilah kami semula”.

    Inilah antara petikan kata-kata sukarelawan Mapim yang berpeluang menyertai Misi Bantuan ke Syria.

    Perjalanan udara dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Istanbul, Turki lalu diteruskan lagi ke Gazian Tap dan bermalam di sempadan Turki/ Syria daerah Hawar Kilis.

    Pengalaman ditahan dan diculik oleh Daulah Islamiyah al-Qaeda (Isis) selama empat jam dirasakan terlalu lama, mujurlah hasil perbincangan yang berhemah mereka dilepaskan.

    Mata mereka menjadi saksi betapa tragisnya keadaan di sana, bangunan di bom, jalan raya berlubang, tompokan darah di sana sini, sampaikan anggota badan mangsa yang dibom juga kelihatan bagaikan serpihan sampah-sarap.

    Atas dasar kemanusiaan dan persaudaraan Islam, mereka bangkit membantu. Pembinaan hospital lima tingkat berserta inkubator, ambulans di Marj Dabiq, Wilayah Azzaz berjumlah RM3 juta direalisasikan untuk kegunaan rakyat Syria. Pembinaan lima buah tangki air sesungguhnya memberi manfaat kepada kira-kira 5,000 penduduk di situ.

    Dan bagi mereka yang ingin memanjangkan sumbangan ini boleh layari www.tabung syria.com

    Derita Syria

    Peluang menemu ramah sukarelawan yang menyertai Misi Bantuan Syria, baru-baru ini memberikan pengalaman cukup mendebarkan walaupun hanya mendengar cerita. Perasaan marah, geram, pilu dan sedih terhadap penderitaan saudara Islam di sana bersatu dalam diri penulis.

    Sungguh tragis, kita di sini hidup bersenang lenang sedangkan mereka di sana bermandikan darah, berlapar sehingga ulama di Syria mengharuskan rakyat di sana untuk memasak daging kucing dan menyusu dengan anjing.

    Paparan yang dilihat di laman sesawang mengenai ada anak kecil menyusu dengan anjing benar belaka, dan ia bukan suatu fitnah!.

    Menyoroti sejarah Syria, besarnya lebih kurang semenanjung Malaysia, didominasi oleh golongan Sunni sebanyak 74 peratus dan Syiah alawiy empat peratus.

    Turki berada di sebelah utara Syria manakala Kurdis di bahagian selatan. Syria adalah tempat bersejarah yang menempatkan hampir 900 makam sahabat Nabi Muhammad SAW. Syria moden ini mencapai kemerdekaan dari Perancis pada April 1946.

    Kemudian menubuhkan negara republik berparlimen, seterusnya berlaku beberapa siri rampasan kuasa seperti di Mesir dan bermulanya pemerintahan kuku besi oleh Hafeez Al-Assad pada 1971, sekali gus menukar semua perlembagaan Syria.


    Minoriti kuasai majoriti

    Sejarah membuktikan rakyat Syria menderita sejak sebelum 1971 lagi, penderitaan yang tidak tertanggung ini mendorong Ikhwanul Muslimin mendapatkan pembelaan kepada rakyat Syria pada 1982. Ternyata besarnya pengaruh Hafeez Al-Assad.

    Dia menghantar tentera lengkap dengan kereta kebal, senjata berat dan jet pejuang mengepung daerah Hama selama 27 hari. Tentera diarahkan menangkap ribuan dan membunuh 50,000 rakyat untuk memberitahu supaya jangan lawan.

    Naib Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Abdul Aziz Abu Bakar, mesra dipanggil tuan haji menceritakan, kekejaman melampau dan langsung tiada perikemanusiaan ditunjukkan pemimpin Hafeez Al-Assad dengan menangkap golongan ulama.

    Tentera menyeksa - memotong jari ulama satu persatu dan ada juga yang mengorek mata ulama hidup-hidup.

    “Ngeri bukan? Tetapi itulah realiti yang dihadapi rakyat Syria. Hafeez Al-Assad berfahaman Syiah alawiy. Dia tidak mahu ada suara bangkit menentang pemerintahannya. Dia melantik dirinya sebagai Presiden Syria dan berkuasa penuh untuk melantik perdana menteri, menteri dan ahli parlimen.

    “Kekejamannya berterusan sehingga pemerintahan jatuh kepada anak keduanya, Bashar Al-Assad. Bashar dilantik menjadi presiden sebelum usia mencecah 40 tahun selepas kematian bapanya pada 10 Jun 2000, menyebabkan Majlis Perlembagaan Rakyat Syria terpaksa meminda syarat untuk menjadi presiden kepada 34 tahun (usia Bashar ketika itu),” katanya yang berpengalaman tiga kali ke Syria.
    Menurutnya, kesan itu dirasai rakyat sehingga ke hari ini. Ternyata tipu helah kononnya akan berbuat baik dengan rakyat sekadar omongan kosong.

    Kenapa rakyat tidak bangkit?

    Setelah hampir 43 tahun rejim Assad kejam ini memerintah Syria, mereka berjaya menanam dalam diri rakyat perasaan takut kepada pemerintah.

    Sesiapa yang menentang kerajaan alamatnya kematian menunggu. Rejim Assad membasuh pemikiran rakyat dengan mencambahkan perasaan takut dan tidak percaya kepada sesiapa pun, waima ahli keluarga sendiri.

    Abdul Aziz menjelaskan, rejim mendoktrin setiap keluarga yang dikenal pasti menentangnya dengan bayaran mahal untuk menjadi tali barut. Ini menyebabkan rakyat takut kerana tidak mustahil dalam kalangan keluarga dan pasangan suami isteri itu ada tali barut rejim.

    “Mereka memang tidak pernah dan takut untuk berbincang mengenai pemerintah. Sesiapa yang menyebut jahanam Bashar pasti esoknya hilang (mati dibunuh) dan syabas kepada mereka kerana berjaya menanam ketakutan dan rasa tidak percaya ini dalam diri rakyat Syria sejak 50 tahun lampau.

    “Memang itulah objektif rejim Assad, mereka mahu memecah-belahkan kesatuan rakyat Syria. Mereka juga mahu rakyat sentiasa berada dalam ketakutan. Keadaan di Syria sekarang seperti zaman 60 dan 70an Malaysia.

     “Rejim Assad juga tidak menggalakkan rakyatnya berfahaman Sunni mendapatkan pendidikan tinggi dengan memberi alasan cukup-cukuplah belajar, kamu sudah bekerja dan dapat mencari makan bagi menyara keluarga sudah memadai. Tetapi amat menggalakkan rakyatnya yang berfahaman Syiah supaya belajar hingga ke menara gading,” katanya.

    Kadar buta huruf dalam kalangan rakyat Syria (Sunni) sebelum perang adalah 14 hingga 16 peratus, mereka juga tidak dibenarkan belajar agama sekalipun mengaji al-Quran secara terang-terangan, semua itu dilakukan secara senyap-senyap. Subjek pembelajaran pun mengenai keluarga Assad. Cuma sekarang ini, subjek pembelajaran diubah sedikit demi sedikit.

    Sungguhpun Syria adalah negara pengeluar minyak, walaupun minyaknya sedikit berbanding Malaysia, tetapi itu boleh dianggap sebagai sumber kekayaan.

    Namun disebabkan rasuah berleluasa semuanya hanya memenuhkan perut rejim Assad. Syria juga negara yang subur dengan pelbagai tanaman, namun semua itu masih menobatkan Syria adalah negara Timur Tengah yang miskin dan hampir 7 juta rakyatnya berada dalam taraf kemiskinan.

    Arab Spring

    Berikutan berlakunya Arab Spring di negara-negara jiran seperti di Mesir, Libya, Tunisia dan Yaman serta kemungkinan besar kesan daripada menonton televisyen, menyebabkan sekumpulan anak-anak kecil berusia lapan hingga 15 tahun di sebuah kawasan Huraan di daerah Dar’a menconteng di dinding perkataan “Rakyat mahu kerajaan turun”.

    Ketua polis di kawasan berkenaan mengarahkan mereka ditahan dan dikurung.

    Setiap daripada anak-anak itu mengalami seksaan yang dahsyat, bayangkan dalam keadaan sedar kuku jari tangan dan kaki mereka dicabut satu persatu, ada yang dibakar, dipukul, diseksa tanpa henti sehingga mengalami banyak pendarahan dan ada yang meninggal.

    Menyedari anak-anak mereka tidak pulang ke rumah, berbondong-bondong ibu bapa menerjah balai polis. Ketua polis itu berkata: "Anda harus melupakan anak-anak anda dan anggaplah anda tidak pernah memiliki anak seperti ini, sudah mati, pergilah balik".

    Ibu bapa mendesak lagi, dan dia menambah, " Baik jika tidak boleh menerima kenyataan yang anak anda telah mati, balik dan bawalah isteri kamu ke sini dan kami akan membuatkan anak yang baharu untuk anda."

    Situasi ini mencabar kesabaran rakyat dan mereka mengadakan demonstrasi pada 15 Mac 2011, berarak hampir 1,000 orang menuju ke balai polis supaya dibebaskan anak-anak kecil itu. Tragis!, pihak polis menyerang penunjuk perasaan ini dengan menembak di kepala sehingga 14 terkorban pada hari pertama.

    Apabila kezaliman terlampau menyebabkan rakyat tidak dapat menunggu lagi. Mereka berkata: "Jika kami tunggu pun mati, tidak tunggu pun mati, baik kami melawan". Asalnya mereka bukan menjatuhkan rejim tetapi menuntut keadilan.

    Rakyat bersedia menanti kematian secara bermaruah kerana itu angka kematian sentiasa meningkat sehingga mencapai ratusan ribu nyawa terkorban di medan jihad!

    Sumber Sinar Harian Kisah Perang Syria
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Ekslusif Kisah Perang Syria - Sinar Harian Rating: 5 Reviewed By: Unknown
    Scroll to Top